KUALA LUMPUR: Sebuah sekretariat tetap akan ditubuhkan di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bagi memastikan segala usul dan resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 dijayakan dengan segera.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata semua keputusan dan resolusi yang dibentang kluster dan kumpulan itu dikumpulkan oleh urus setia.
“Saya sudah diberikan tanggungjawab untuk menjadi pengerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) mengambil kira keputusan dan resolusi itu yang akan mendapat pengabsahan daripada MEB.
“Yang paling penting, keseluruhan kluster dalam kongres ini sudah mengusulkan pelbagai aspek yang terkait dengan kepentingan bumiputera tanpa meminggirkan lain-lain kaum,” katanya pada sidang media selepas majlis penutupan KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam.
MEB dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
KEB 2024 yang melabuhkan tirainya pada Sabtu menggariskan lebih 80 resolusi sebagai agenda pemerkasaan bumiputera.
Ia disertai 3,000 peserta termasuk wakil daripada Dewan Perniagaan Melayu, Kadazan, Dusun, Iban, Dayak, serta wakil masyarakat Orang Asli.Resolusi itu diperoleh daripada hasil libat urus dikelolakan menerusi 10 kluster merangkumi pelbagai aspek yang dibentangkan sepanjang tiga hari kongres berlangsung.
Antara resolusi yang diangkat ialah berkaitan kluster pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Ia termasuk menetapkan satu badan atau organisasi yang menjalankan tadbir urus institut tahfiz TVET dan memperkukuh jalinan kerjasama program tahfiz TVET dengan majlis agama Islam negeri.