Serangan Ke Atas KK Mart Jejas Keharmonian Kaum, Negara – DAP

KUALA LUMPUR: Insiden serangan bom petrol ke atas dua kedai serbaneka, KK Mart dianggap sebagai satu perkembangan membimbangkan dan boleh mengakibatkan konflik kaum yang berisiko menjejaskan keamanan jika tidak ditangani dengan baik.Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP menerusi kenyataan berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya insiden itu yang juga serangan bom petrol kedua ke atas cawangan KK Mart.Walaupun CEC DAP memahami bahawa isu stoking itu mengguris perasaan umat Islam, namun sebarang tindakan seharusnya mengikut lunas undang-undang dan bukannya mengambil jalan keganasan.“CEC DAP menjunjung titah DYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bahawa tidak perlu lagi untuk mana-mana pihak terus mengapi-apikan kemarahan secara berterusan memandangkan tindakan mengikut lunas undang-undang telah diambil dalam isu stoking kalimah ‘Allah’.“CEC DAP turut menjunjung titah DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mana Baginda telah menyifatkan perbuatan serangan bom petrol sebagai petanda yang membimbangkan dan hendaklah diberikan perhatian serius melalui tindakan tegas agar api perkauman segera dibendung daripada merebak lebih luas,” katanya.Justeru, CEC DAP menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh terhadap dua insiden serangan berkenaan supaya pelaku dibawa ke muka pengadilan.“CEC DAP juga menyeru semua rakyat Malaysia yang rasional, moderat dan mengutamakan hubungan harmoni serta keamanan, menolak tindakan kekerasan ini demi tanah air tercinta,” ujarnya.Terdahulu, sebuah kedai serbaneka KK Mart yang baharu beroperasi sejak dua minggu lalu di Sungai Isap, Kuantan diserang dengan ‘molotov cocktail’ pada pukul 5.14 pagi tadi.Pada Selasa lepas, insiden sama turut berlaku di sebuah cawangan kedai serbaneka KK Mart di Bidor, Perak. – MalaysiaGazette

Related Articles