Serang Khalid Samad dan Zunar ini bukan kerja kita, kata Ku Nan

Beliau berkata demikian dengan merujuk kes melibatkan rusuhan di Parlimen terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan juga kartunis politik, Zunar yang baru berlaku pada Jumaat.

Menurut Tengku Adnan yang mesra dipanggil Ku Nan, UMNO tidak pernah menggalakkan budaya sedemikian dan meminta ahli-ahli parti itu untuk bertindak dengan lebih waras.

“Ini semua tidak ada kena mengena dengan UMNO pusat sepertimana yang berlaku di Parlimen. Saya sudah terangkan ini semua tiada kena mengena dengan UMNO pusat.

“Kita tak tahu dan UMNO pusat tak menggalakkan apa yang sedang berlaku kepada Khalid Samad atau kepada Zunar. Kita tak galakkan, ini bukan kerja kita,” katanya di dalam sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran dan sesi pengundian Rumawip Residensi Wangsamas, Residensi Desamas dan Residensi Taman Danau Desa, di Desa Water Park, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Malah, Menteri Wilayah Persekutuan itu turut mengingatkan dan berharap kepimpinan hari ini khususnya pemimpin pembangkang agar lebih rasional serta lebih berhati-hati dalam setiap percakapan mereka.

“Kita harapkan mereka ini lebih rasional, tapi yang buat kerja ini pun macam Zunar, macam Khalid Samad ini berhati-hati jugalah. Jangan menyakiti hati orang, bila buat soalan menyakiti hati orang ia akan jadi pergaduhan,” tegasnya.

Kata Ku Nan sebagai sebuah negara demokrasi setiap daripada kita haruslah lebih bertoleransi.

“Baik Muslim, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya, kita haruslah lebih bertolak ansur. Kita tak mahu apa yang berlaku di Myanmar berlaku dalam negara kita. Kita tak mahu ia berlaku tetapi apa yang berlaku ini menimbulkan masalah kepada kita.

“Kita kena ingat, ini Malaysia, kita hidup bersama dalam landasan yang sama jadi bersatu dan bekerjasamalah kita bagi memastikan bahawa kita akan terus dapat bergerak ke hadapan,” kata Ku Nan lagi.

Related Articles