Kumpulan yang menghantar memorandum itu berarak dalam Himpunan Pemuda Bangkit 2016 Ride Against Corruption 2.0 itu tiba di pekarangan Komtar kira-kira jam 2 petang Rabu.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, ini merupakan perhimpunan yang kedua selepas Himpunan Bangkit 2016 yang diadakan awal bulan lalu itu turut melibatkan penyerahan memorandum kepada wakil kerajaan negeri.
Menurutnya, antara intipati memorandum berkenaan mendesak Guan Eng untuk menarik semula sokongan terhadap Perhimpunan Bersih 5.0.
“Dalam memorandum itu juga, kita mendesak agar Kerajaan Pulau Pinang membina dan membangunkan perumahan kos rendah bagi penduduk negeri ini. Kita turut mendesak agar Guan Eng menangani masalah pembangunan tidak terkawal yang menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan.
“Selain itu, memorandum berkenaan turut mengandungi desakan agar menghentikan pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi yang menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh.
“Guan Eng juga didesak agar menghentikan aktiviti penambakan laut yang mengakibatkan berlakunya gangguan kepada ekosistem dan memberi kesan kepada punca pendapatan nelayan pesisir pantai,” katanya kepada media, pada Rabu.
Khairul Azwan berkata demikina selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pegawai Maklumat Kerajaan Pulau Pinang, Zahar Zainul.
Khairul Azwan berkata, perhimpunan itu adalah solidariti anak muda bagi mendesak Guan Eng meletakkan jawatannya kerana terlibat dengan dua pertuduhan rasuah di mahkamah.
“Ini amaran kedua selepas perhimpunan yang sama di Persiaran Gurney pada 1 Oktober lalu. Jangan ambil mudah dengan desakan kami kerana kami konsisten dengan tuntutan kami. Guan Eng sudah hilang kredibiliti, mana mungkin masih memerintah Pulau Pinang?
“Kami juga memberi amaran, jangan sesekali mengadakan Bersih 5.0 kerana kita akan berperang jika ia terus diadakan. Itu janji kami. Bersih 5.0 adalah alat DAP untuk menjatuhkan negara,” katanya.
Terdahulu, seramai 3,000 anak muda berkumpul dengan menyertai Himpunan Bangkit Pulau Pinang 2016 Ride Against Corruption bagi memberi amaran kepada penganjur Perhimpunan Bersih 5.0 agar tidak menyerang UMNO dan BN.
Himpunan itu juga bagi menunjukkan sokongan kepada Umno dalam menggesa Guan Eng meletak jawatan atau bercuti kerana terlibat dalam dua pertuduhan rasuah, memetik Sinar Harian.