Seorang bakal guru maut, dua lagi parah dalam kemalangan

Dalam kemalangan kira-kira 3.40 petang itu, Nik Haikal Amir Hassan, 20, maut di tempat kejadian manakala dua rakannya Muhammad Amin Ahmad Saifuddin dan Mohd Basir Mahani masing-masing berusia 20 tahun cedera parah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Normansah Din ketika dihubungi Bernama berkata, kejadian berlaku ketika ketiga-tiga pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat itu dalam perjalanan ke Kelantan.

Katanya, nahas itu dipercayai berlaku selepas kereta jenis Perodua Kenari yang dipandu Nik Haikal dipercayai terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan.

Susulan rempuhan itu menyebabkan Nik Haikal tercampak ke tengah jalan manakala dua rakannya terperangkap di dalam kenderaan sebelum dibantu oleh orang ramai.

Mayat pelajar itu dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat manakala dua yang parah turut menerima rawatan di hospital sama, katanya. – Bernama

Related Articles