GEORGE TOWN: Semua pihak harus menyokong titah Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang mengingatkan supaya masjid tidak digunakan sebagai medan untuk berpolitik serta mengkafirkan mereka yang tidak menyokong parti tertentu.
Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata ini kerana masjid merupakan tempat beribadat, serta untuk umat Islam memupuk perpaduan dan tidak wajar dijadikan sebagai gelanggang politik semata-mata, demi mendapatkan sokongan jemaah terhadap parti tertentu.
“Jika ini dibenarkan, maka ia akan memecah-belahkan masyarakat Islam di samping mencemarkan kesucian masjid. Nak berpolitik buatlah di luar masjid, jangan gunakan rumah Allah untuk tujuan politik kepartian,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Wan Salim berkata tiada siapa boleh mengkafirkan mana-mana individu yang tidak menyokong parti tertentu kerana parti politik itu ciptaan manusia berdasarkan ijtihad yang boleh jadi betul atau salah.
Beliau berkata, perkara itu disokong hadis yang melarang mengkafirkan seseorang yang bersolat menghadap ke arah kiblat (Kaabah) dan makan haiwan disembelih dengan menyebut nama Allah.
“Kecuali, jika seseorang melakukan perbuatan yang jelas menunjukkan kekufurannya seperti menyembah berhala, memaki Allah atau Rasul-Nya atau memijak al-Quran tetapi, jika seseorang tidak menyokong parti tertentu maka kita tidak boleh nengkafirkannya,” katanya.
Sultan Abdullah dalam satu rakaman video sebelum ini menitahkan masjid di Pahang supaya mengharamkan “penyakit-penyakit lama”, antaranya solat dua imam dan kafir-mengkafir serta menjaga kesucian masjid dengan tidak menjadikan rumah ibadat itu sebagai medan berpolitik. -Bernama