Seleweng RM100 juta:Pegawai MOA dibebas dengan jaminan SPRM

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman membebaskan lelaki itu dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin selepas siasatan terhadapnya selesai.

Lelaki berusia 43 tahun itu, yang berkhidmat di KBS sebelum berpindah ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kira-kira sebulan lalu, ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan pada 23 Mac dan direman tujuh hari.

Pada 17 Mac, SPRM menahan enam individu, termasuk pegawai kanan KBS dan seorang wanita, berkaitan kes sindiket penyelewengan dana kerajaan bernilai RM107 juta. Tiga lagi individu ditahan sehari selepas itu bagi membantu siasatan.

Sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak 2010 dengan menggunakan bahagian kewangan agensi KBS membuat bayaran kepada 14 syarikat kononnya bagi tujuan menjayakan program berkaitan acara sukan.

Pada 24 Mac, dua kontraktor syarikat penganjuran acara dan seorang wanita yang merupakan proksi sebuah syarikat dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Pada Jumaat lepas, seorang lagi kontraktor syarikat penganjuran acara berusia 36 tahun pula dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin. – Bernama

Related Articles