Timbalan Presiden WARISAN, Darell Leiking berkata pihaknya tidak dapat menyertai konvensyen penting untuk menubuhkan satu pasukan pembangkang yang mantap sebelum menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kerana kedua-dua pemimpin sudah mempunyai komitmen lain pada tarikh yang sama di Sabah.
“Kami dijemput tetapi malangnya Datuk Seri Shafie Apdal dan saya akan menghadiri majlis jelajah di Kudat dan Marudu yang sudah dirancang lebih awal,” katanya seperti dilapor sebuah portal.
PAS sebelum ini menolak jemputan tersebut dengan alasan konvensyen tersebut turut dihadiri parti DAP dan AMANAH dan menegaskan tidak akan bekerjasama dengan kedua-dua parti itu.
Bekas perdana menteri dan Pengerus Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad serta presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengesahkan kehadiran mereka.
Tun Mahathir akan memberikan syarahan khas di majlis berkenaan, manakala Muhyiddin akan memberikan ucapan bersama pimpinan pembangkang lain.
Kemuncak konvensyen Pakatan Harapan itu adalah perjanjian antara Pakatan Harapan dan Bersatu bagi mewujudkan satu bentuk kerjasama untuk mencapai strategi satu lawan satu dengan BN pada PRU akan datang.