Selepas 19 Jam Operasi Menyelamat, Mayat Anggota Bomba Ditemui

by Anis

KUALA LUMPUR: Mayat seorang anggota bomba yang dikhuatiri lemas ketika sedang menguji enjin bot (kevlar) pasukan di Jeti Pangkalan Marin di Mak Mandin, Butterworth, ditemui selepas 19 jam pencarian.

Mayat mangsa, Mohd Izwan Illias, 42, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth itu ditemui jam 5.32 petang tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 20 meter dari radius dia dilaporkan terjatuh.

Jelas beliau, penemuan mayat itu adalah hasil daripada operasi strategik yang dilaksanakan dengan keanggotaan JBPM seramai 140 serta 40 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pertama sekali kita buat penilaian bacaan pergerakan arus sebelum kecilkan skop pencarian iaitu dari satu kilometer hilir kepada 300 meter manakala 500 meter hulu kepada 100 meter.

“Pengecilan radius pencarian dibuat selepas dua ekor anjing dari Unit K9 menunjukkan tanda-tanda pengesanan dalam radius 50 meter dari lokasi terakhir mangsa dipercayai terjatuh.

“Alhamdulillah pada jam 5.32 petang salah seorang anggota operasi nampak jasad mangsa sebelum dinaikkan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke hospital bagi proses bedah siasat.

Tambah Nor Hisham, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Arwah diklasifikasikan terkorban ketika menjalankan tugas rasmi dan satu majlis istiadat penghormatan terakhir jenazah akan dilaksanakan di Kampung Pekan Darat, Penaga malam ini sebagai tanda terima kasih atas pengorbanan serta komitmen mangsa dalam perkhidmatan bomba.

“Dalam masa sama, saya juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan kita akan ambil tindakan selanjut dari segi kebajikan kepada balu serta lima anak mangsa,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Illias Othman, 77, meluahkan rasa syukur susulan mayat anak ketiga daripada enam beradik itu ditemui kurang daripada 24jam.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dalam melakukan operasi pencarian sejak malam tadi sehingga mayat Mohd Izwan ditemui.

“Meskipun sedih tapi kami sekeluarga redha dengan pemergian dia (Mohd Izwan),” katanya. – MalaysiaGazette

Related Articles