Selenggara segera kemudahan pintu masuk negara -PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mahu semua projek penyelenggaran dan penambahbaikan kemudahan di pintu masuk negara meliputi lapangan terbang dan pelabuhan disegerakan bagi menampung peningkatan kedatangan pelancong asing ke negara ini.

Kata Anwar Ibrahim kemudahan itu perlu efisien dan harus dibaiki bagi mengelak kesesakan di beberapa lapangan terbang termasuk di Tawau, Sabah serta Pulau Pinang.

Pada masa yang sama katanya penambahbaikan perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga perlu disiapkan dengan pantas.

“Bukan sahaja (lapangan terbang) di Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, Alor Setar (Kedah) dan Kota Bharu (Kelantan), sampai ke Tawau (Sabah)..

“Seperti mana kita tahu, lapangan terbang di Tawau itu kecil, tidak dirangka untuk mendapat pelancong dari luar negara. Kita kena tarik pelancong dari luar, (jadi) tak bolehlah nak siapkan atau baiki lapangan terbang dalam tempoh tiga atau empat tahun, tak boleh,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan sambutan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, dan yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing dan timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ketua-ketua pengarah yang berkaitan perlu merujuk kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi menyegerakan arahan itu.

“Oleh sebab itu, saya minta semua ini disegerakan dan usahakan Anthony (Menteri Pengangkutan Anthony Loke), segerakan hal sedemikian.. lapangan terbang Tawau, Pulau Pinang yang dah sesak, untuk memudahkan.

“KLIA contohnya, itu sudah jadi tekanan kerana jumlah pelancong yang sangat tinggi,” katanya.

Perdana menteri berkata bagaimanapun proses untuk menyegerakan projek-projek berkenaan perlulah mengikut prosedur yang ditetapkan untuk mengelak daripada amalan lama.

Selain itu, Anwar berkata sinergi antara kementerian serta agensi perlu diperhebat bagi memastikan industri pelancongan negara kekal berdaya saing dan lebih berkembang, meliputi pelbagai elemen yang saling berkaitan, antaranya perkhidmatan, keselamatan, kemudahan serta daya tarikan.

Dia juga mahu promosi hasil tempatan, kraf tangan, batik dan songket diperluaskan.

“Saya ucap tahniah kepada Kementerian Pelancongan kerana memikirkan hal ini (promosi) iaitu apa yang dihasilkan di Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Jadi setiap negeri itu merasa ada peranan mereka.

“Perancangan daripada industri ini haruslah meluas supaya tiada pihak merasa tersisih. Ini penting, kraf tangan boleh mengangkat martabat hidup rakyat miskin,” katanya.

Pada majlis itu Anwar turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kraf Negara 2024 kepada Bangie Embol yang banyak menghasilkan kraf tekstil tenunan pua.

Ia merupakan pengiktirafan tertinggi diberikan oleh kerajaan Malaysia melalui kelulusan jemaah menteri pada 1996.

HKK bermula 21 Feb lalu dan berlanjutan sehingga 4 Mac bagi memberi pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangan usahawan serta penggiat kraf kepada pembangunan industri kraf negara. – Bernama

Related Articles