Sejuta peluang pekerjaan akan tertutup jika TPPA berakhir

Wujud kebimbangan bahawa Trump berkemungkinan besar akan mengkaji semula semua perjanjian melibatkan TPPA yang ditandatangani semasa era pentadbiran Presiden Barrack Obama.

Andai ini berlaku, kesannya sudah pasti kepada 11 buah negara yang sudah menadatangani perjanjian perdagangan strategik ini.

Ini kerana, sebelum ini, pihak penganjur, iaitu Amerika Syarikat telah menyatakan bahawa menerusi perjanjian ini, kesemua negara peserta akan menikmati kadar pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan yang lebih komprehensif.

Namun, andai perjanjian ini ditamatkan sebelum ia dilaksanakan, besar kemungkinan, pertumbuhan ekonomi negara anggota akan kembali seperti asal dan paling dibimbangkan, peluang pekerjaan juga gagal dihasilkan.

Mengulas akan hal ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, Malaysia berkemungkinan akan kehilangan kira-kira 1 juta peluang pekerjaan andai TPPA ini menemui titik penamatnya.

Nada yang sama turut diluahkan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) yang menjangkakan, Malaysia akan turut terkena tempias jika TPPA ini tidak dilaksanakan di bawah pentadbiran Trump.

PwC sebelum ini mengunjurkan Malaysia akan dapat mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan andai TPPA ini dilaksanakan. Namun, setelah Trump berkuasa kelak, jika beliau memutuskan untuk tidak meneruskan perjanjian TPPA ini, Malaysia menjadi negara keempat daripada 11 negara yang terlibat dalam TPPA akan terjejas dengan dasar baru ini.

Namun begitu, menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani, Trump berkemungkinan tidak akan menggadaikan sesuatu perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini hanya untuk melaksanakan manifesto pilihan rayanya.

Malah Trump sebagai ahli perniagaan yang berjaya, pastinya tidak akan melakukan perkara yang terlalu radikal sehingga boleh melemahkan ekonomi dunia.

Ini kerana, ekonomi Amerika Syarikat dan dunia saling berkait dan beliau pastinya enggan memperjudikan kedudukan ekonomi Amerika hanya kerana mahu memansuhkan TPPA.

 

Dipetik dari Facebook Beruang Biru

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi pemilik akaun Facebook dan tidak mempunyai kaitan dengan pihak editorial SmasaNews.com

Related Articles