Bekas Menteri Kewangan itu juga menafikan beliau individu yang mencadangkan supaya mengemukakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat bagi menjatuhkan Najib.
Bukan itu saja, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li juga mendakwa beliau tidak berminat untuk merebut jawatan Perdana Menteri dan usianya juga sudah tua untuk menduduki kerusi itu.
Ia sekaligus menafikan khabar angin di media sosial yang kononnya dirinya mengetuai gerakan menyokongnya menjadi Perdana Menteri.
Ku Li juga turut menempelak Mahathir yang menuduhnya berpaling tadah, sedangkan beliau tidak pernah menyokong sebarang gerakan ataupun deklarasi dipelopori bekas Perdana Menteri dan pemimpin pembangkang, Lim Kit Siang.
“Saya tidak pernah menyokong gerakan deklarasi (Tun Dr) Mahathir (Mohamad)-Lim Kit Siang. Justeru tidak timbul isu saya berpaling tadah apabila menandatangani Deklarasi UMNO Kelantan bersama 13 lagi Ketua UMNO bahagian menyokong kepemimpinan Najib.
“Saya ahli UMNO, dan juga Ketua Bahagian dan boleh menandatangani apa saja dokumen, jangan salah faham kerana saya tidak berada bersama kumpulan lain selain UMNO.
“Saya tidak tahu mengenai surat itu (gerakan menjadikannya Perdana Menteri), saya tidak melihatnya hanya mengetahuinya semalam (hari ini) melalui media sosial,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Langgak Golf di sini, hari ini.
Sebelum ini, Mahathir meluahkan rasa kecewa apabila Ku Li menandatangi Deklarasi UMNO Kelantan selain menyifaykan pemimpin veteram UMNO itu sebagai ‘pembelot’.
Mahathir mendakwa Tengku Razaleigh adalah individu bertanggungjawab mencadangkan supaya Najib dijatuhkan melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Mengulas mengenai akuan bersumpah (SD) yang tersebar di laman sosial kononnya hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Najib.
Beliau berkata SD terbabit umpama sepucuk surat yang ingin dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong dan menggunakan nama beliau sebagai contoh dengan harapan dapat menarik sokongan ahli parlimen lain.