Setelah 1,500 hidangan masakan popular itu dibuang, tukang masak itu yang popular dipanggil Chef Wan berkata beliau tidak tahu-menahu bahawa ia akan dibazirkan.
“Saya tidak memasak laksa itu dan saya tidak juga tahu apa-apa mereka (penganjur) tidak memberi kepada orang lain sehingga pagi ini,” jelasnya di laman Instagram hari ini selepas dipertikaikan peminatnya.
Semangkuk besar laksa Sarawak, yang mencipta rekod negara dalam Malaysia Book of Records semalam, dibuang kerana “tidak sihat” untuk dimakan, kata penganjur seperti dilapor The Borneo Post.
Juadah dalam mangkuk gergasi sedalam 1.3 meter yang mengandungi 100kg perencah laksa, 225kg laksa beras, 90kg udang, 1,008 biji telur dan 80kg ayam disediakan oleh 15 tukang masak selama 18 jam.
Berita muka depan akhbar itu “A wasteful record-breaking feast” mengundang kemarahan ramai sejak ia tersebar.
Menjawab sikap orang ramai itu, Chef Wan menjelaskan beliau asalnya tidak terlibat langsung dengan acara mencipta rekod tersebut tetapi diundang saat akhir kerana kebetulan berada di Plaza Merdeka, Kuching.
Tambahnya, beliau berada di sana untuk demonstrasi memasak dan merasmikan dewan makan baru pusat beli-belah itu hari ini bersama Toh Puan Ragad Kurdi Taib, isteri yang dipertua Sarawak.
Namun, sewaktu tiba di sana dua hari lepas, Chef Wan diundang menyertai majlis perasmian hidangan laksa Sarawak terbesar dan tidak pula menolaknya.
“Dengan bersahaja, saya kata ‘ya’ (apabila dijemput). Saya juga teruja untuk mengetahui sebesar apa mangkuk tersebut dan rekod yang mesti dicapai untuk dimasukkan dalam Book of Records,” katanya lagi.
Berdepan dengan reaksi negatif di media sosial, cef itu menyeru kepada orang ramai agar tidak terus-menerus menyalahkan beliau atas acara tersebut kerana ia “bukan dalam kawalannya”, memetik laporan Projek MMO.