Tunku Ismail berkata rakyat tidak seharusnya dimanipulasikan demi kepentingan diri kerana pemimpin yang dipilih itu sebenarnya bertanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Saya masih ingat perkara-perkara seperti percubaan untuk membubarkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Ahli Exco Johor diberitahu untuk tidak menyambut Almarhum nenda saya di lapangan terbang, bagaimana JKR telah diberitahu untuk tidak membaikpulih dan memulihara segala apa-apa yang ada di Istana-istana Johor.
“Malah Bonda saya juga ditahan oleh kastam Malaysia sewaktu kembali ke Johor dari Singapura. Bonda saya diarah melangkah keluar dari kenderaan kerana mereka mahu memeriksa kenderaan dengan terperinci. Saya masih ingat segala-galanya dan saya masih ingat kepada individu-individu yang bertanggungjawab.
“Saya berharap agar sejarah hitam yang anda lakukan atas desakan tamak haloba dan sikap gila kuasa tidak akan berlaku lagi. Jangan manipulasi rakyat demi kepentingan diri sendiri kerana anda dilantik untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya dilaman sosial Johor Southern Tigers.
Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri telah meminda perlembagaan supaya undang-undang boleh digubal tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong pada 1983 sehingga mencetuskan krisis.
Pada 1993, Tun Mahathir turut melucutkan kekebalan raja-raja Melayu agar boleh diheret dan dibicarakan di mahkamah khas serta menganjurkan perhimpunan di seluruh negara bagi membidas raja-raja Melayu.
Tun Mahathir bersama-sama dengan pembangkang baru-baru ini sekali lagi telah membuat gerakan melalui Deklarasi Rakyat bagi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Ini semua perkara lama. Allah Maha Besar dan hukum karma adalah suatu perkara yang indah. Pada hari ini, hubungan kerajaan dan Kerabat Diraja Johor berada di dalam keadaan baik. Saya menghargainya.
“Saya berharap ianya bukan hanya sekadar disebabkan kerana anda amat memerlukan kami. Memang baik sekiranya anda sedar bahawa kita saling memerlukan antara satu sama lain.
“Tetapi pada pendapat saya pada masa ini, tumpuan harus diberikan untuk memperbetulkan kesilapan dan mencapai kemajuan dalam negara,” ujarnya.