Bagaimanapun Harvey sempat berjenaka bagi mengimbas kembali kesilapan yang dilakukannya pada pertandingan Miss Universe ke-64 tahun lalu apabila tersilap mengumumkan Ratu Cantik Colombia, Ariadna Gutierrez sebagai pemenang dan kemudian memperbetulkan kesilapan itu dengan memberitahu bahawa Ratu Cantik Filipina, Pia Wurtzbach yang sebenarnya mendapat gelaran itu.
Mengacara pertandingan Miss Universe ke-65 pada Isnin, Harvey berkata, peluang kedua ‘menaikkan keyakinannya’ dan beliau memberi jaminan tidak akan melakukan kesilapan lagi.
Menurut Harvey, beliau terpaksa memberanikan diri sebelum membaca kad dan berhati-hati setiap kali mengumumkan nama yang tertera.
“Setiap kali saya baca kad, saya akan berkerut, sikit saja,” katanya.
Harvey kemudiannya bergurau dengan pembantu produksi yang menyerahkan kad yang mempunyai senarai nama tiga teratas.
“Kali ini perlu betul. Anda tidak akan tinggalkan Filipina jika berlaku lagi!” kata Harvey berseloroh.
Sewaktu Harvey mahu mengumumkan nama bagi dua teratas, Harvey memanggil pemenang Miss Universe tahun lalu, Pia Wurtzbach.
Wutrzbach itu kemudian memeluknya dan memberikan cermin mata kepada Harvey sebagai ‘persediaan’.
Aksi mencuit hati itu menggamatkan penonton.
“Terima kasih banyak Pia. Terima kasih Tuhan,” ujar Harvey yang mendapat sorakan daripada para penonton.
Selepas Ratu Cantik Perancis, Iris Mittenaere diumumkan sebagai pemenang Miss Universe Ke-65, Harvey kemudiannya membuat ucapan penutup yang begitu meninggalkan kesan kepada semua penonton.
“Saya Steve Harvey, dan saya melakukannya dengan betul!” – Philippine Daily Inquirer/Asia News Network