‘Saya reda walaupun sekadar ahli biasa’

SHAH ALAM: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman reda melepaskan jawatan presiden Muda susulan pensabitannya, sekalipun ia memberi kesan pada kerjaya politiknya.

Ahli Parlimen Muar itu dalam temubual dengan Zaid Ibrahim berkata, beliau percaya langkah itu akan membantu Muda berkembang.

“Adakah ia langkah politik yang bagus atau realistik… atau naif? Mungkin. Tapi saya masih muda dan perjalanan saya masih jauh,” katanya dalam podcast bekas menteri undang-undang itu.

“Sekiranya ditakdirkan langkah itu menamatkan kerjaya saya, saya reda,” katanya, dan menambah beliau masih ada ruang untuk membersihkan namanya di mahkamah.

“Saya fikir Muda harus berkembang dan saya sekadar ahli biasa.”

Syed Saddiq berkata beliau sendiri tidak sanggup kekal di kerusi presiden selepas keputusan mahkamah itu, memikirkan kesannya ke atas Muda.

“Bukan sahaja parti itu akan gagal, tetapi saya akan gagal sebagai pengasas dan presiden.

“Mana-mana parti yang terbina atas satu personaliti pasti akan gagal.”

Pada 9 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Syed Saddiq bersalah atas tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang.

Beliau dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan, serta denda RM10 juta.

Mahkamah membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan hukuman penjara sementara rayuan dikemukakan.

Beberapa jam selepas keputusan mahkamah, Syed Saddiq mengumumkan beliau melepaskan jawatan presiden, yang kini dipangku timbalannya, Amira Aisya Abd Aziz. -Free Malaysia Today

Related Articles