“Saya nak tergelak ke terkejut dengan kenyataan itu. Saya dipecat bukan keluar daripada parti, dan beliau adalah Ketua Penerangan UMNO.
“Kalau Presiden parti sendiri pernah menawarkan jawatan Timbalan Menteri dan dia kata lepas tiga empat bulan boleh diangkat sebagai menteri penuh bagi mengganti jawatan saya sebagai menteri besar, itu pun saya tolak apa lagi satu tawaran dari seorang ketua penerangan,” kata Mukhriz selepas sidang media isu cadangan jawatan Perdana Menteri Malaysia dihadkan selama dua penggal, di ibu negara pada Selasa.
Beliau berkata demikian dengan mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan kesediaan UMNO untuk menerima ahli, termasuk Mukhriz sekiranya masih berhasrat kembali kepada parti itu.
Jelas Mukhriz, Bersatu bukan sebuah parti sementara yang kononnya akan kembali ke pangkuan UMNO seperti mana berlaku dalam parti-parti sebelum ini.
Terdahulu Raja Petra Kamarudin yang juga seorang blogger tersohor menulis, sekiranya Mahathir ingin melihat Mukhriz menjadi perdana menteri, Mukhriz perlu kembali menyertai UMNO.
“Kami akan kekal, masa untuk UMNO telah tamat, kami akan menggantikan peranan yang dipegang oleh UMNO selama ini,”katanya.