PUTRAJAYA: Anwar Ibrahim menegaskan lawatan rasminya ke luar negara termasuk ke Jerman baru-baru ini dipenuhi urusan demi kebaikan Malaysia, bukan untuk berseronok seperti dituduh segelintir pihak.
Perdana menteri mendakwa ada pihak menuduhnya menyalah guna kuasa dan wang kerajaan “untuk bercuti ke luar negara”.
“Tentunya saya selaku perdana menteri, (Timbalan Perdana Menteri) Zahid (Hamidi) turut juga kena… kita dihujani pelbagai (tuduhan) salah guna kuasa, guna wang banyak, pergi guna pesawat kerajaan, pergi bercuti di luar negara dengan seronok.
“Saudara… tak terjawab saya tapi percayalah, Jerman lima hari saya ke sana, kedai pun saya tak pergi, saya tak ada kerja lain selain dari hotel ke mesyuarat,” katanya pada perhimpunan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri pagi ini.
“Saya bukan pergi satu hari mesyuarat hari kedua main golf… itu tradisi lama. Ada lapang selepas program saya jalan laju sekejap, itu ada… kalau itu dianggap salah saya minta ampun dan maaf.”
Beliau kesal segelintir pihak melemparkan tuduhan itu adalah dari kalangan “tok guru” memakai serban dan jubah.
“…dan hujahnya tidak benar sama sekali. Adakah sebagai PM, saya tak boleh ke luar negara? Saya terpaksa saudara… kita tak akan dapat dukungan sebegitu rupa kalau kita tak menyantuni,” tegasnya.
Dalam lawatan ke Jerman berakhir 16 Mac, Anwar berkata selain perjumpaan rasmi bersama rakan sejawat, Canselor Olaf Scholz dan Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier, beliau turut bertemu sarjana Islam Eropah membincangkan cabaran Islamofobia, serta pelabur-pelabur.
Tambahnya, dalam pertemuan rasmi dengan beberapa syarikat pelabur dari China, Australia, dan Jerman baru-baru ini, mereka memuji kecekapan penyampaian perkhidmatan awam negara yang semakin baik mutakhir ini.
“Jadi saya harap kita tumpu…percayalah bagi masa dalam beberapa tahun, kita boleh angkat semula martabat kita. Kita dah ketinggalan (dari aspek) transformasi digital (dan) transisi tenaga, ini hal yang sangat mendesak untuk negara kita.
“Bincanglah soal ini, sekali sekala nak cakap pasal bak kut teh bolehlah tapi janganlah ambil masa panjang sangat,” selorohnya. -Free Malaysia Today