Menurutnya, keadaan itu amat berbeza seperti yang didakwa Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mendakwa pengisyiharan harta memberikan risiko dari aspek keselamatan.
Malah, beliau turut menyifatkan kenyataan Tengku Adnan itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.
“Saya menjadi lebih popular dan lebih ramai pengundi atas pagar dan dari UMNO sendiri yang mengikuti saya di laman media sosial malah dari semasa ke semasa ada sahaja orang biasa yang datang ke Pusat Khidmat untuk menderma kerana mereka simpati dengan kedudukan kewangan saya dan keluarga.
“Saya jarang mendapat permohonan tajaan kerana semua orang tahu saya tidak berduit dan saya tidak pernah diugut atau sesiapa dari keluarga saya menerima ancaman kerana penjenayah tahu saya tidak berduit,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Menurut Rafizi lagi, pengisytiharan harta kepada umum adalah perlu bagi mengelakkan wujudnya spekulasi ataupun tuduhan salah laku rasuah atau penyelewengan.
“Sebenarnya beliau takut dengan rakyat kerana beliau tidak berani untuk memperincikan harta dan sumbernya seperti yang saya buat tahun lalu.
“Oleh kerana harta itu dikumpul sebelum menjadi wakil rakyatlah maka harta itu perlu diisytiharkan secara terperinci supaya rakyat tahu bahawa seorang wakil rakyat itu tidak terlibat dengan salah laku rasuah atau penyelewengan semasa menjawat jawatan awam,” kata Ahli Parlimen Pandan itu lagi.
Sebelum ini, Tengku Adnan dilaporkan melahirkan kebimbangan keluarganya mungkin menjadi sasaran penjenayah jika beliau bertindak mengisytiharkan harta kepada rakyat.
Menurutnya lagi, ada dua cara ciri-ciri pengisytiharan harta yang jika diamalkan oleh wakil rakyat ia boleh membantu mereka hidup lebih selamat dan aman.
“Ia perlu memberi perincian harta dan sumbernya sebelum menjadi wakil rakyat dan pada setiap tahun, diisytiharkan pula perubahan harta bagi menunjukkan sama ada harta dibelanjakan bagi tujuan politik atau ada harta baru yang ditambah sejak menjadi wakil rakyat dan sumbernya.
“Ia juga perlu memberi perincian pendapatan dan perbelanjaan bulanan sebagai wakil rakyat untuk membuktikan bahawa tiada sumber tidak baik yang dilibatkan setiap bulan. Hanya dengan cara ini, barulah rakyat dapat menilai sama ada pengisytiharan harta itu adalah benar atau tidak kerana rakyat boleh membandingkan pengisytiharan harta tersebut dengan gaya hidup seorang wakil rakyat,” katanya.
Sebelum ini, PKR menggesa Tengku Adnan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Abd Aziz mengisytiharkan harta mereka kepada rakyat dengan kadar segera selepas Tengku Adnan memaklumkan setiap jabatan di bawah kementeriannya telah diarahkan untuk meneliti semula pengisytiharan harta pegawai bagi membendung gejala rasuah.
Namun, Tengku Adnan berkata beliau tidak akan berbuat demikian kerana bimbang keselamatan keluarganya terancam kerana mendakwa mempunyai banyak aset semasa menjadi ahli perniagaan sebelum menyertai politik.
Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pegawai tinggi DBKL bergelar ‘Datuk Seri’ selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah.