Sesi keterangan yang bermula seawal 9 pagi tadi berakhir pada 1 tengah hari adalah untuk menjawab segala dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap dirinya.
Jelasnya, kini beliau berada dalam ‘mode stadby’ untuk dipanggil lagi oleh pihak SPRM bagi melancarkan siasatan.
“Kini terserah kepada SPRM,” katanya.
Ahli Parlimen Ketereh ini berkata, dalam pertemuan dengan SPRM itu beliau telah menjawab soalan yang ditanya pasukan penyiasat selepas difahamkan badan itu telah membuka kertas siasatan terhadapnya.
“Bukti (beri) setakat mana yang saya tahu, saya menjawab soalab-soalan.
“Saya tiada bawa bukti sebab saya tidak tahu apa yang mereka mahu dapatkan jadi saya jawab setakat apa yang saya tahu berdasarkan apa yang SPRM tanya,” katanya.
Tambahnya, banyak perkara telah ditanya termasuk keterlibatan dalam Universiti Kuala Lumpur (UniKL), PMB, dan syarikat yang menguruskan penajaan Kafa.
Ditanya sama ada dirinya tertekan dengan apa yang berlaku Annuar berkata, beliau menganggap apa yang berlaku ini sebagai satu cabaran untuk seorang ahli politik.
“Bila kita berkhidmat kepada rakyat sudah tentu akan ada cabaran, yang penting kita buat dengan jujur dan ikhlas bukan songlap masuk poket, bukan untuk peribadi, kita berkhidmat untuk orang ramai.
“Oleh kerana tuduhan ini agak serius bila dikatakan menyeleweng duit biasiswa, duit Mara, memaksa penajaan, kalau itu benar berlaku sangat buruk, sangat buruk bagi seorang penjawat awam, wakil rakyat, seorang ahli politik yang mencecah umur 60 tahun kalau kita buat kerja menyeleweng dana, duit biasiswa, maka mesti disiasat,” katanya.