Safee berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan kira-kira jam 4 petang, tadi daripada seorang kawan yang memaklumkan mengenai berita itu yang viral di Facebook (FB).
“Ini berita palsu dan saya amat kecewa dengan mereka yang sanggup menyebarkan perkara ini dalam FB. Jangan buat perkara yang tidak bertanggungjawab.
“Saya sihat dan akan menjalani latihan seperti biasa di Pusat Latihan Kelab Bola Sepak JDT, petang ini,” katanya ketika dihubungi, pada Isnin.
Berita itu menjadi viral dalam FB menerusi satu akaun bernama Harian Metro News yang memuat naik Safee dikejarkan ke hospital sebelum dikhabarkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Safee berkata, beliau juga akan membuat laporan polis dalam tempoh terdekat mengenai penyebaran berita palsu itu.