Sarawak mundur walaupun 35 tahun diperintah BN, kata PKR

Wan Azizah berkata, penduduk di negeri itu juga ketinggalan daripada aspek pembangunan sosial serta tidak mempunyai bekalan air bersih dan elektrik untuk 24 jam.

“Malah kemudahan seperti sekolah dan klinik masih terhad di kawasan pedalaman Sarawak dan kebanyakan kawasan tidak mempunyai jalan raya yang sempurna untuk laluan harian,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Wan Azizah, yang juga merupakan ketua pembangkang berkata, pengurusan kerajaan yang tidak membawa kesan positif kepada pembangunan negeri menyebabkan banyak penduduk berpindah keluar dari negeri tersebut untuk mencari pekerjaan.

“Sarawak kaya dengan sumber asli yang mampu memberi peluang pekerjaan kepada rakyat sekiranya sumber tersebut diterokai dengan betul.

“Tetapi pentadbiran yang lemah telah mengambil kesempatan ke atas sumber tersebut tanpa meningkatkan peluang pekerjaan mahupun membawa kesan positif kepada ekonomi Sarawak.

“Peluang pekerjaan yang terhad membuatkan banyak penduduk Sarawak berpindah ke Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Singapura untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka,” katanya.

Malah, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan kadar gaji minimum di Sarawak yang lebih rendah daripada kadar di Semenanjung.

Wan Azizah berkata, jurang perbezaan kadar gaji minimum di antara Semenanjung dengan Sarawak, Sabah dan Labuan hanya menggalakkan tanggapan bahawa ketiga-tiga negeri tersebut tidak layak untuk menerima kadar gaji yang sama dengan Semenanjung.

“Pekerja di Sarawak mendapat bayaran gaji yang lebih kurang daripada pekerja di Semenanjung walaupun mereka mungkin melakukan pekerjaan yang sama.

“Tindakan ini tidak adil kerana ia hanya melumpuhkan pembangunan masyarakat Sarawak,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa penduduk Sarawak juga terpaksa menganggung keperitan kenaikan harga barang dan kos pembiayaan sara hidup yang tinggi.

“Masyarakat Sarawak kini menderita kerana peningkatan harga barang akibat salah tadbir kerajaan Umno.

“Malangnya, keperitan hidup masyarakat Sarawak tidak diberi perhatian oleh kerajaan dan ini merupakan masa yang sesuai untuk mereka bersuara bagi mendapatkan hak mereka yang sepatutnya,” katanya.

Related Articles