Penahanannya kira-kira pukul 6.15 petang itu dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di Medan Damansara.
Mengesahkan penahanan lelaki berusia 32 tahun itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Sanjeevan ditahan kerana menggunakan kelayakan akademik palsu dari United Kingdom bagi tujuan menipu.
“Suspek menggunakan dua ijazah memperdaya seorang pengarah syarikat dengan kelayakan yang ada sehingga ditawarkan jawatan konsultan bagi tujuan membawa masuk perniagaan ke dalam syarikat.
“Sanjeevan telah bekerja di situ dari Jun 2013 hingga Januari 2014 sebelum ditamatkan khidmat kerana kegagalan prestasi selain majikannya mendapat maklumat daripada media sosial suspek mempunyai kelulusan akademik palsu,” katanya dengan memetik laporan Utusan Malaysia.
Menurut Acyrl Sani, Sanjeevan yang ditahan akan dihadapkan ke mahkamah pada Khamis.
Pada petang 11 Ogos lalu, Sanjeevan ditahan oleh Jabatan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman kerana dipercayai terlibat dengan pemerasan di sebuah hotel di Putrajaya.
Suspek kemudiannya didakwa di Mahkamah Temerloh keesokan harinya atas tuduhan melakukan pemerasan terhadap pengendali pusat perjudian dengan 20 kertas siasatan telah dibuka ke atas Sanjeevan.
Beliau sekali lagi ditahan pada 15 Ogos di Medan Damansara berdasarkan laporan mangsa yang pernah diperas ugut.
Suspek juga pernah ditahan bersama pemandunya pada 22 Julai lalu di Nilai, Negeri Sembilan kerana dipercayai terlibat dengan jenayah dan pemerasan.
Tambah Acryl Sani, kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 417 dan 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.