Saman saya ke atas Najib sudah tidak relevan – Anina

Beliau yang juga merupakan bekas ahli UMNO Langkawi itu berkata, tindakan berkenaan diambil ekoran dirinya kini berjuang bersama parti baru.

Oleh demikian, Anina melihat tindakan untuk meneruskan saman ke atas Najib adalah tidak relevan.

“Saya sekarang dengan BERSATU, perjuangan (UMNO) tu dah tak relevan. Perjuangan yang lebih penting adalah untuk menjatuhkan Najib daripada kerusi PM.

“Saya sedang bersiap sedia untuk meneruskan perjuangan yang lebih besar bersama BERSATU,” katanya di dalam satu sidang media yang diadakan hari ini.

Saman yang difailkan ke atas Perdana Menteri itu adalah untuk memulangkan semula sumbangan RM2.6 bilion kepada UMNO, saman terhadap pemecatannya dalam UMNO dan permohonan mengisytiharkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan tidak berpelembagaan.

Anina, bagaimanapun mengesahkan bahawa saman yang difailkan bersama-sama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan terhadap Najib bagi pelanggaran kewajipan fidusiari akan diteruskan.

“Saya nak tegaskan bahawa sekarang ini lebih 30 juta rakyat Malaysia sedang dipenjarakan dalam satu penipuan yang terbesar dalam sejarah politik dunia.

“Saya akan lakukan apa sahaja dalam kapasiti yang saya ada untuk berjuang sehingga ketitisan darah terakhir, untuk pastikan rakyat Malaysia dibebaskan daripada penipuan tersebut,” ujarnya

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat peguamnya Mohamed Haniff Khatri Abdulla di Kota Damansara.

Mohd Hanif pula berkata, dalam masa terdekat pihaknya akan berhubung dengan peguam cara yang mewakili perdana menteri untuk menyampaikan hasrat pembatalan tiga tindakan undang-undang itu.

“Atas arahan anak guam, pasukan peguam dalam masa terdekat akan berhubung dengan peguam cara Najib, responden dan pejabat peguam negara sebelum tarikh ditetapkan melalui prosedur undang-undang untuk menarik balik ketiga-tiga kes tersebut.” jelasnya.

Related Articles