Saman Khairul Azwan terhadap Rafizi, ditolak

Hakim S. Nantha Balan dalam keputusannya berkata, beliau tidak menafikan nama Khairul Azwan telah disebut dalam kenyataan akhbar Rafizi berhubung hartanah tersebut memang memalukan beliau.

Namun begitu, kenyataan tersebut pada hemat Hakim Nantha Balan, bukan membawa maksud yang Khairul Azwan terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa berhubung hartanah berkenaan.

Sebaliknya kenyataan itu bagi Hakim Nantha Balan adalah komen yang menuntut penjelasan daripada Khairul Azwan berhubung transaksi tersebut.

Sehubungan itu, Hakim Nantha Balan menolak saman fitnah Khairul Azwan.

Dalam saman itu, Khairul Azwan, 40, selaku pihak plaintif menyatakan, Rafizi yang dinamakan sebagai pihak defendan telah mengedarkan dan menerbitkan kenyataan fitnah terhadapnya ketika mengadakan sidang akhbar di pejabat Rafizi di Pusat Perkembangan Minda Uni Infiniti pada 6 Julai tahun lalu.

Beliau yang juga pengarah syarikat Biosis Group Bhd. mendakwa perkataan yang diterbitkan itu antara lain mempersoalkan kononnya beliau terlibat dalam urus niaga pembelian 746 Swanston Street di Australia oleh syarikat milik penuh Mara Inc., Thrushcross Land Holdings Limited.

Katanya, kenyataan itu membawa maksud bahawa beliau kononnya mempunyai kepentingan dalam urus niaga yang dijalankan selain mendakwa urus niaga itu telah menyebabkan Thrushcross Land Holdings Limited mengalami ketirisan sebanyak RM63 juta.

Pihak plaintif sehubungan itu, menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan perintah injunksi, memetik laporan Utusan Online.

Related Articles