KUALA LUMPUR: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan bahawa Kementerian Dalam Negeri cuba menghalang penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC).
Sebaliknya, Menteri Dalam Negeri yang mengalu-alukan penubuhan majlis itu berkata, ia dapat memartabatkan profesionalisme media di negara ini.
“Sejak semalam seharian menerima panggilan dari wartawan sehingga ke editor media dan saya ditanya betulkah KDN menentang penubuhan ini? Saya pun terkejut dengan soalan itu.
“Memang benar perkara (penubuhan Majlis Media) ini dibincang dalam mesyuarat kabinet yang lepas dan saya pun lihat dan semak dengan KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) bahagian mana kita tak setuju.
“Tak ada pun pendirian kita tak setuju. Ia tak betul (cuba halang penubuhan Majlis Media),” katanya selepas ditanya pemberita pada sidang media, di sini, hari ini.
Sementara itu, Saifuddin menafikan dakwaan bahawa kementeriannya akan meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) (PPPA) untuk mengawal portal-portal berita atas talian.
“Saya juga ditanya apakah KDN akan meminda PPPA, katanya KDN nak buat pindaan bagi mengawal media atas talian. Ini juga tak betul.
“Cuma kami baru terfikir nak buat pindaan ke atas kompaun ke atas beberapa pelanggaran, itu sahaja. Tapi, pindaan berkaitan nak mengawal portal atas talian tak ada dalam radar kami, itu sangat jelas,” katanya. – MalaysiaGazette