RUU355: Musuh Islam ‘sesak nafas’

by SM Amin

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan, berkata musuh Islam sangat bencikan agenda itu kerana mereka mahu umat Islam berpecah belah supaya dapat mengambil kesempatan.

Kata beliau, musuh Islam sedang melancarkan pelbagai propaganda dan provokasi agar umat Islam Malaysia terus terperangkap dalam krisis perpecahan yang berpanjangan.

“Saat umat Islam pecah dan retak, mereka akan datang dengan gerak kerja yang terancang untuk menghancurkan Islam secara berperingkat.

“Ia telah didedahkan oleh Allah S.W.T bagaimana pelan tindakan dan modus operandi musuh Islam (Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyeru seluruh umat Islam termasuk Ahli Parlimen muslim bersama menjayakan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berhubung Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016.

Beliau berkata, masyarakat bukan Islam di negara ini turut diseru supaya menyokong usaha memperkasakan hukuman di Mahkamah Syariah yang merupakan hak muslim di negara ini.

“RUU355 yang diusulkan di Dewan Rakyat bertujuan meminda kadar hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah agar menurut undang-undang Syariah.

“Usul ini akan membuka ruang untuk tiga kesalahan jenayah syariah dihukum berdasarkan undang-undang syariah iaitu bagi kesalahan persetubuhan luar nikah bagi yang belum berkahwin sebanyak 100 sebatan syarie, Qazaf sebanyak 80 sebatan syarie dan minum minuman memabukkan sebanyak 40 sehingga 80 sebatan syarie berdasarkan khilaf antara mazhab fiqh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Related Articles