Russia hantar pasukan siasat pembunuhan dutanya

Kira-kira 20 pakar dari perkhidmatan keselamatan Rusia dan Kementerian Luar akan bekerjasama dengan rakan-rakan Turki mereka sebagai sebahagian daripada siasatan pembunuhan Duta Andrey Karlov di sebuah galeri seni pada petang Isnin, demikian menurut jurucakap Kremlin Dmitry Peskov.

Pembunuhnya, yang dikenal pasti sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang Turki, melaungkan slogan Islam dan mengutuk sokongan tentera Rusia kepada kerajaan Syria dalam perang saudara di negara itu.

Kerajaan Turki telah mempersalahkan gerakan pendakwah dalam buangan Fethullah Gulen atas pembunuhan duta itu, lapor agensi berita Anadolu semalam.

Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu memberitahu rakan sejawatannya dari Amerika John Kerry bahawa Gulen di belakang pembunuhan itu, lapor Anadolu yang memetik sumber diplomatik.

Turki dan Rusia tahu bahawa Gulen – yang turut dipersalahkan oleh Ankara berkaitan rampasan kuasa yang gagal pada musim panas – di sebalik pembunuhan itu, kata Cavusoglu.

Kerry pula memandang berat terhadap beberapa retorik yang keluar dari Turki berkenaan dengan penglibatan Amerika, sokongan, tersirat atau sebaliknya, ke atas pembunuhan itu semalam kerana kehadiran Gulen di Amerika Syarikat”, kata jurucakap Jabatan Negara AS, John Kirby.

“Ia adalah satu dakwaan yang tak munasabah, palsu, tidak ada asas kebenaran sekalipun,” kata Kirby.

“Dan setiausaha luar telah menyatakannya dengan jelas dalam perbincangan hari ini dengan menteri luar berkenaan.” – dpa

Related Articles