Kata Azmin, Air Selangor mempunyai tempoh masa sehingga Oktober depan untuk memuktamadkan rundingan tersebut seperti yang tertakluk di dalalm perjanjian utama penstrukturan air negeri itu.
“Untuk makluman ketika ini rundingan bagi pengambilalihan Splash oleh air Selangor masih berjalan dan ia bertepatan dengan tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian utama.
“Perjanjian utama menggariskan air Selangor diberi tempoh setahun dari tarikh perjanjian utama dimuktamadkan iaitu Oktober 2016 untuk selesaikan pengambilalihan Splash,” kata Azmin dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam, di sini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan ADUN BN-Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berhubung status terkini rundingan penstrukturan air dengan SPLASH.
Kata Azmin, terdapat beberapa perkara masih lagi diteliti untuk memastikan terma-terma yang akan dipersetujui nanti tidak membebankan rakyat.
“Beberapa perkara sedang diteliti kedua-dua pihak untuk memastikan terma-terma komersial dalam pengambilalihan SPLASH tidak membebankan rakyat dan ia akan diteruskan dengan kerajaan Persekutuan untuk melihat keupayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk membiayai pengambilalihannya,” kata Azmin.
Azmin sebelum ini memaklumkan hanya SPLASH masih dalam proses rundingan pengambilalihan, manakala proses bagi tiga lagi konsesi iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) dan Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) berjaya diselesaikan.