RTM enggan layan permintaan Tony Pua

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana isu berkaitan 1MDB sudah selesai selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentangkan laporan di Parlimen.

“Saya sebenarnya tidak faham apa lagi yang hendak dibahaskan berkenaan isu 1MDB sedangkan laporan PAC telah dibentangkan di Parlimen.

“Jika ada pihak yang berminat untuk berbahas, boleh berbuat demikian dalam sidang Parlimen.

“Pada saya isu untuk menyiarkan perbahasan Tony Pua dan Arul secara langsung tidak berbangkit pada ketika ini. Kita tidak berminat kerana isu 1MDB telahpun selesai disiasat oleh PAC. Begitu juga dengan Ketua Audit Negara,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, Salleh tidak menghalang mana-mana stesen televisyen lain jika berminat untuk menyiarkan siaran langsung debat berkenaan.

Sebelum ini, Tony Pua berkata Salleh perlu membuat tawaran semula seperti ketika cadangan debat pertama tahun lalu.

Ini memandangkan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap 1MDB selesai dan sudah dibentangkan di Parlimen.

Tony juga mengakui urusan debat antara dirinya dan Arul selesai selepas surat yang dihantar pada 14 Mei lalu telah diterima Arul selain turut bersetuju untuk berdebat.

Related Articles