Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz berkata ia merupakan kesalahan serius, oleh itu mahkamah perlu menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran supaya mesej yang jelas dapat disampaikan kepada orang awam.
Hakim Balqis Aini Mohd Ali menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara ke atas Rahimi Wahdanur Daifi, 27, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak bekerja itu menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 Mac lepas.
Ketika rayuan Rahimi yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia yang sudah bercerai perlu menjaga seorang anak yang masih kecil dan ibu bapa yang uzur.
Rahimi didakwa bersama-sama seorang individu yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan terhadap Nariman Ayoubi, 22, dengan mengambil dompet mengandungi wang tunai RM350 dan dokumen pengenalan diri milik mangsa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Ampang, di sini pada 2 pagi, 30 Mac lalu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian mangsa sedang berjalan seorang diri sebelum didatangi dua lelaki termasuk tertuduh yang tiba-tiba telah menumbuk muka mangsa dan melarikan dompetnya.
– Bernama