Riza serah jiwa kepada syaitan untuk miliki apa yang bukan miliknya – adik Riza Aziz

Menerusi laman Facebook dan Instagram, Azrene yang menggunakan nama Azrene Ahmad berkata Riza kini sedang menerima balasan diatas perbuatannya meskipun pendedahan mengenainya dibuat oleh Amerika Syarikat.

“Riza masih merupakan seorang yang kami semua sangat kasihi. Malangnya, kasih yang dicurahkan tidak cukup untuk dirinya dan orang-orang di sekelilingnya. Dia memilih, seperti orang lain sebelumnya, untuk memiliki kemasyhuran, kekayaan dan sanjungan. Dia kini sedang membayar harga untuk itu.

“Jika Malaysia tidak bersedia untuk memberi keadilan yang rakyat Malaysia harapkan dan keadilan yang keluarga saya pinta melalui doa pada setiap malam selama ini, maka USA sudah pun menunjukkan jalan – dengan cara tersendiri yang hanya mereka dapat tafsirkan”, tulisnya.

Malah Azrene juga menyifatkan kenyataannya itu adalah untuk menegakkan keadilan walaupun digelar ‘kambing hitam’ dalam keluarga apabila mendedahkan perihal keluarganya kepada umum.

Tambahnya lagi Riza perlu bertanggungjawab diatas kelakuannya jika dia mengaut keuntungan daripada dana yang dicuri.

“Mereka yang mengenali saya tahu bahawa saya merupakan kambing hitam dalam keluarga. Tetapi itu tidak bermakna saya tidak sayang keluarga saya. Orang ramai boleh kata saya kejam untuk apa yang saya tulis hari ini, tetapi saya sentiasa menegakkan apa yang sepatutnya dan melakukan apa yang betul, demi kebenaran dan keadilan walaupun terpaksa membayar harga yang tinggi dan ini bermakna melakukan perkara yang tidak popular.

“Saya sering menegaskan bahawa jika Riza menggunakan dan mengaut keuntungan daripada dana yang dicuri, dia perlu membayar apa yang dilakukannya itu. Jika dia bertindak sebagai proksi atau sebagai pemegang amanah untuk apa yang bukan miliknya, dia perlu membayar untuk semua perbuatannya. Tidak kiralah apa sebab dia lakukannya sekali pun, jika ia menyakitkan negara dan rakyat, ia adalah salah. Yang salah mesti diperbetulkan”, tulisnya.

Jelas Azrene, tindakan Riza itu dilihat seperti menyerahkan diri kepada syaitan untuk memiliki apa yang tidak sepatutnya menjadi miliknya.

Menurut Azrene yang juga isteri kepada personaliti masakan, Datuk Dr Fadzley itu, berkata dia kini boleh menarik nafas lega tanpa sesalan apabila salah laku yang dibuat keluarganya kini didedahkan.

“Bagi mereka yang fikir saya tidak berhati perut hari ini, sila ingat, doa saya adalah untuk kebenaran dan keadilan. Sama seperti rakyat Malaysia yang lain, telah dijawab hari ini dan akan terus dijawab.

“Jika Riza menyerahkan jiwanya kepada syaitan untuk memiliki apa yang tidak sepatutnya, anggaplah hutangnya dengan syaitan telah langsai dan akan dikutip lagi. Begitu juga, semua ahli keluarga yang telah menyerahkan jiwa mereka kepada syaitan, masa anda akan tiba.

“Harga yang saya perlu bayar supaya suami saya, keluarga saya dan anak-anak saya boleh tidur nyenyak pada waktu malam dalam keadaan aman dan selamat adalah menyaksikan sendiri ahli keluarga saya yang saya tinggalkan 10 tahun lalu membayar harga untuk salah laku mereka”, akhirinya.

Related Articles