Ringgit diniaga 4.00-4.05 minggu depan

Beliau berkata, mata wang tempatan itu mungkin menerima tekanan berbanding dolar dengan Rizab Persekutuan AS diramal menaikkan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan bulan depan.

“Pasaran mungkin menjadi gelisah menjelang kemungkinan kenaikan itu yang akan memberi tekanan ke atas mata wang tempatan. Ia mungkin juga mencerminkan pergerakan minyak mentah Brent,” katanya.

Menurutnya, kebimbangan mengenai obligasi hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah reda berikutan laporan yang Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim mengesahkan yang kerajaan akan memenuhi semua obligasinya berkaitan syarikat berkenaan.

“Unit tempatan itu boleh mendapatkan sokongan daripada selera risiko yang lebih baik di tengah-tengah peningkatan sentimen pasaran berikutan kenyataan positif mengenai isu yang dihadapi dana pelaburan strategik kerajaan itu,” katanya.

Untuk minggu baru berakhir, ringgit diniaga pada 3.9940 hingga 4.0600. Unit tempatan itu ditutup pada 4.0210/0280 pada Jumaat berbanding dolar AS daripada 4.0000/0080 pada minggu sebelumnya.

Ia bagaimanapun ditutup bercampur-campur kepada lebih tinggi berbanding mata wang lain. Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9331/9391 daripada 2.9440/9501 Jumaat lepas dan meningkat berbanding yen kepada 3.6988/7063 daripada 3.7404/7489 sebelum ini.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.5642/5738 daripada 4.5684/5791 Jumaat lalu tetapi merosot berbanding pound Britain kepada 5.7963/8080 daripada 5.7948/7080 sebelum ini. – Bernama

Related Articles