Kejadian antara pukul 3.45 hingga 4.15 petang itu turut menerbangkan atap rumah penduduk.
Ahli Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB), Nor Azhar Abdul Hamid berkata antara kawasan terjejas ialah Kampung Kangkar Tebrau, Taman Bunga Ros, Taman Delima dan Taman Daya.
Katanya, di Kampung Kangkar Tebrau, sebuah rumah penduduk teruk terjejasakibat dihempap pokok, menyebabkan empat sekeluarga terpaksa berteduh sementara di rumah saudara mereka.
“Di Taman Delima pula, kami menerima tiga laporan pokok menghempap rumah, namun tiada kecederaan atau kematian dilaporkan,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Nor Azhar berkata pihaknya telah mengarahkan seramai 30 hingga 40 pekerja termasuk kontraktor untuk membersihkan dan memotong pokok di kawasan-kawasan terlibat.
Kerja-kerja pembersihan turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan beberapa agensi lain.
Nor Azhar berkata, pihaknya juga sudah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ahli Parlimen terlibat untuk memberikan sumbangan kilat kepada semua mangsa hari ini. – Bernama