Seorang penduduk Jani Khamis, 44, berkata banyak pepahat ditemukan terbenam di dalam pasir sekitar pantai berkenaan.
“Ia dibawa ombak besar sebelum terbenam di dalam pasir. Pepahat hanya akan kelihatan apabila air laut betul-betul surut hingga jauh di tengah laut.
“Waktu inilah kita akan lihat banyak lubang pepahat di permukaan pasir,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pepahat yang dipungut itu mampu mendatangkan pendapatan lumayan kepada pencarinya.
“Saya akan mula mengutip pepahat ketika air laut surut antara pukul 2 hingga 4 petang.
“Pepahat ini kemudiannya akan dijual antara RM10 hingga RM18 sekilo yang ketika waktu ini (air pasang besar), saya mampu mendapat antara 3 hingga 5 kilo pepahat dalam sehari,” katanya yang merupakan seorang nelayan.
Bagi Amran Khalis, 32, yang merupakan Orang Asli Tanjung Sepat, kemunculan pepahat sedikit sebanyak menambah duit poket untuk perbelanjaan keluarganya.
Beliau berkata selain menjual kepada penduduk sekitar, siput itu turut mendapat permintaan tinggi daripada pengusaha restoran atau kedai makanan laut sekitar Kuala Langat.
“Berbagai hidangan atau lauk boleh terhasil daripada pepahat. Pepahat boleh dimasak kari, lemak atau direbus begitu saja dengan garam atau dicampur bahan penambah perasa lain,” katanya.
Amran berkata kerja mencari pepahat turut menyeronokkan apabila kawasan pantai akan dipenuhi ramai orang.
Masyarakat Orang Asli Tanjung Sepat akan turut turun ke pantai beserta penduduk kampung lain yang kadang-kadang jumlahnya akan mencecah 30 orang, katanya.
Ibrahim Mat, 55, penduduk Kampung Sungai Buaya pula berkata beliau mencari pepahat sekadar suka-suka untuk makanan sampingan buat keluarganya.
“Pepahat memang sukar ditemui dan apabila ia muncul, ia menarik minat kita untuk sama-sama mencarinya. Pepahat kalau mahu dibeli di pasar harganya memang mahal.
“Jadi sementara ada peluang, kita cari, masak sdan makan pepahat,” katanya.
“Fenomena air pasang besar di Selangor turut mengakibatkan banjir di Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Namun fenomena itu dijangka tidak akan berpanjangan. Maka penduduk sekitar Pantai Kelanang tidak lagi akan berpesta mencari pepahat. – Bernama