Kata Razlan, Jamal hanya membangkitkan hak dan nasib warga Lembah Klang yang seringkali mengalami masalah air seakan-akan tidak berkesudahan yang tidak diambil endah oleh kepimpinan negeri Selangor.
“Tindakan merobohkan premis milik beliau oleh Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dilihat umpama dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Bukankah sepatutnya pemilik premis diberikan notis beberapa hari sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
“Jika ianya melanggar undang-undang yang ditetapkan, penyelesaian secara berhemah perlu dilakukan dan bukannya dibuat mengikut telunjuk pihak tertentu.
“Apa yang terjadi hari ini sememangnya memelikkan kerana notis dihantar pagi, sebelah petangnya premis dirobohkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jamal semalam hadir ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di Shah Alam dengan bertuala putih sambil membawa gayung berisi peralatan mandi untuk menumpang mandi susulan ketiadaan air di kediamannya selama empat hari.
Susulan daripada itu, kerajaan negeri melalui MDSB telah bertindak balas menghantar notis perintah tutup bertarikh 22 Disember pagi tadi yang menyebut pemilik Sekin Fisherman Village Hotel & Resort menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen yang sah daripada pihak berkuasa.
Bagaimanapun, beberapa jam selepas itu, MDSB terus bertindak merobohkan sebuah resort yang dimiliki oleh Jamal.
Menurut Razlan, tindakan tegas kerajaan negeri itu malangnya tidak dilakukan terhadap premis judi dan rumah pelacuran haram yang bertaburan di sekitar Selangor.
“Tapi sayangnya premis haram tidak berlesen seperti di pekan Sekinchan dibiarkan saja oleh pihak berkuasa tempatan.
“Melihatkan perihal penguatkuasaan tanpa ‘perasaan’ ini, ia akan menjadi kekhuatiran kepada banyak pihak. Kemungkinan rakyat akan menjadi semakin takut untuk bersuara membangkitkan hak dan permasalahan mereka secara umum.
“Rakyat semakin risau akan kezaliman kerajaan PKR Selangor menggunakan kuasa untuk menindas mereka yang bergelar rakyat di bawah,” ujarnya.
Tambah beliau, kepimpinan negeri seharusnya bersikap lebih terbuka dan bukan berdendam serta mencari salah rakyat.