Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat berkata kejadian berlaku pada 10.30 malam Rabu lepas apabila suspek, seorang lelaki berusia 20 tahun pergi ke rumah mangsa berumur 16 tahun itu.
“Suspek menarik tangan mangsa dan mengajaknya ke bilik tidur namun mangsa enggan menuruti kemahuan suspek, bagaimanapun suspek terus memaksa dan menarik tangan mangsa ke bilik.
“Apabila sampai ke bilik, suspek terus menanggal baju mangsa sehingga bogel, abang mangsa tiba-tiba masuk ke dalam bilik itu dan ternampak suspek lalu terus menumbuk muka suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Khoo berkata akibat pergelutan dengan suspek, mangsa mengalami kecederaan di belakang badan dan hasil pemeriksaan dilakukan di Hospital Miri, mangsa tidak dirogol kerana tiada sebarang koyakan pada selaput dara.
“Suspek kini sedang diburu, siasatan awal mendapati mangsa tidak pernah keluar dengan suspek,” katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan lain, Khoo berkata polis kini sedang mengesan seorang suspek lelaki rakyat tempatan berusia 28 tahun dari Rumah Ulat Sungai Manong, Niah kerana mengugut untuk mencederakan ibu kandungnya.
Beliau berkata ibu kandung suspek berusia 48 tahun telah membuat laporan polis pada 11 pagi semalam setelah anaknya mengancam untuk menembaknya dengan senapang guli kerana enggan memberikan wang kepada suspek.
“Suspek adalah seorang penganggur dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah, ini bukan kali pertama suspek bertindak demikian,” katanya. -Bernama