Ketua Polis Daerah Lipis Supt. Azry Akmar Ayob berkata, mangsa Rosi a/l Bah Tam, 19, ditemui anggota penyelamat pada pukul 7.08 pagi dalam keadaan duduk dan berpakaian lengkap atas rumpun buluh.
“Anggota penyelamat menemui remaja lelaki ini dalam kawasan operasi pencarian kita, sebelum ini kita sudah mencari di tempat itu tetapi tidak jumpa, berkemungkinan dia menyembunyikan diri pada waktu tersebut.
“Jarak lokasi mayat mangsa dijumpai itu kira-kira empat kilometer dari rumah mangsa. Kita juga mendapati tiada kesan unsur jenayah terhadap tubuh badan mangsa,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Azry Akmar berkata, Rosi yang cacat pendengaran, tangan dan kaki dipercayai meninggal dunia akibat kelaparan setelah tidak makan sepanjang kehilangannya sejak 7 Oktober lepas.
Beliau berkata, mayat Rosi dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.
Katanya, seramai 84 anggota penyelamat termasuk Pasukan Gerakan Am, polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rela terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat hari ini.
Gerakan mencari dan menyelamat Rosi bermula pada 11 Okt lalu selepas anggota keluarganya membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa pada petang 10 Oktober lepas. – Bernama