PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki ditahan polis kelmarin selepas gambarnya yang menunjukkan dia menggunakan alat menyerupai senjata api di tingkap blok sebuah kondominium di Jalan Kayu Madang, Kota Kinabalu, tular di media sosial.
Suspek berusia 15 tahun itu ditahan polis dari IPD Kota Kinabalu di rumahnya di kondominium berkenaan pada 5.36 petang.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah, berkata polis menerima maklumat awam mengenai gambar tular di kumpulan WhatsApp berhubung perbuatan remaja terbabit.
Katanya, sepasukan polis kemudiannya menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah rumah dan menemukan satu laras senjata api tiruan menyerupai AK47 dan sepucuk pistol tiruan.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan perbuatannya pada 9 pagi pada 2 Mac lalu bertempat di tangga, dengan menggunakan senjata api terbabit untuk menembak ke arah beberapa objek yang dijadikan sasaran.
“Suspek juga mengaku membeli dua senjata api tiruan di sebuah kedai di bandar raya ini dengan harga RM158 dan RM54,” katanya.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu, polis menyerbu kedai menjual senjata api tiruan di sebuah kompleks beli-belah di sini.
Katanya, pihaknya telah merampas sejumlah senjata tiruan dan menahan lelaki dan wanita berusia 15 dan 19 tahun yang bekerja di premis berkenaan.
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960,” katanya. –Free Malaysia Today