Razif sangkal serah telaga minyak Bertam kepada 1MDB

Tegas Razif, beliau tidak menandatangani sebarang dokumen berkaitan perkara itu kerana kawasan itu bukan milik kerajaan negeri dan ia dikendalikan oleh Petronas.

“Sebenarnya tiada isu telaga minyak kerana ia bukan hak kerajaan negeri tetapi Persekutuan. Jadi kenapa kita dapat lima peratus?

“Yang Bertam itu kepunyaan Petronas, kita tiada hak. Saya telah jelaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Koperasi Negara 2016 di Kuala Terengganu semalam.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said sebelum ini menuduh Razif telah menandatangani dokumen dan menyerahkan medan telaga minyak Bertam 307 di perairan Terengganu kepada Pahang dan 1MDB.

Walaupun dikendalikan oleh Petronas kata Razif, pihaknya sedang berusaha untuk membuat permohonan rasmi kepada kerajaan Persekutuan supaya negeri Terengganu turut memperolehi pendapatan daripada telaga minyak yang terletak di perairan negeri itu.

“Kerajaan negeri telah membuat permohonan rasmi kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) selaku Menteri Kewangan untuk membuat pertimbangan agar digunakan balik asas kepada komitmen (lebih tiga batu nautika milik kerajaan Persekutuan) yang telah diberi sebelum itu tetapi saya belum dapat keputusan daripada PM.

“Kita sendiri telah tubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan dianggotai oleh beberapa pihak termasuk wakil pemetaan kerana kita nak tengok balik dan melihat semula peraturan dan ia bukan proses yang cepat yang kita boleh ambil keputusan.

“Telaga minyak Bertam tidak berada dalam lingkungan tiga batu nautika yang membolehkan ia menjadi hak milik penuh kerajaan negeri namun kita masih cuba mendapatkan hasilnya demi kebaikan rakyat negeri ini,” ujarnya.

Tambah beliau, permohonan itu perlu dibuat mengikut peraturan dan beliau perlu diberi peluang menyelesaikannya kerana ia masih dalam proses rundingan.

Related Articles