Rayuan Muhyiddin Ke Mahkamah Persekutuan Dibantah Pihak Pendakwaan

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh membuat rayuan terus kepada Mahkamah Persekutuan memandangkan kes salah guna kuasa dan penggubahan wang haram masih lagi di Mahkamah Sesyen, hujah pendakwaan pagi ini.

Pendakwaan yang diwakili Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihaknya akan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan Muhyiddin untuk menangguhkan prosiding mahkamah rendah, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Kata Wan Shaharuddin, undang-undang tidak memperuntukkan tindakan sedemikian dan kes jenayah utama adalah di Mahkamah Sesyen serta dihadkan oleh Seksyen 87 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA).

“Ini jelas bertentangan dan tidak ikut undang-undang.

“Peruntukkan itu sudah menyatakan sebarang rayuan boleh dari Mahkamah Sesyen hanya boleh dibawa ke Mahkamah Tinggi dan kemudian ke Mahkamah Rayuan.

“Hanya rayuan daripada Mahkamah Tinggi boleh dibawa ke Mahkamah Rayuan kemudian ke Mahkamah Persekutuan,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah Muhyiddin dan beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Azura kemudian menetapkan sebutan kes pendengaran pada 3 April ini.

Bekas perdana menteri itu membuat rayuan kepada mahkamah tertinggi pada 29 Februari lalu selepas keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan empat tuduhan rasuah berjumlah RM232.5 juta dikembalikan semula ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Presiden Bersatu itu melalui firma guaman Tetuan Chetan Jethwani & Company memfailkan notis rayuan itu di Mahkamah Persekutuan semalam, untuk merayu keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan pada 28 Februari lalu.

Rabu lepas, tiga panel hakim sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin.

Keputusan itu dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S M Komathy Suppiah.

Panel berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf daripada segi undang-undang apabila memutuskan empat pertuduhan berkenaan tidak mendedahkan sebarang kesalahan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Mahkamah Tinggi pada Ogos tahun lalu membebaskan Muhyiddin itu selepas membenarkan permohonannya untuk membatalkan tuduhan terbabit.

Ketika itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan semua tuduhan tersebut.

Ia susulan empat pertuduhan itu didakwa tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada 18 April tahun lalu, dengan memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan dikenakan terhadapnya pada 10 Mac 2023.

Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Selain itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN masih berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang semuanya berjumlah RM200 juta. – MalaysiaGazette

Related Articles