Rayani Air janji pulangkan wang penumpang sebelum Aidilfitri

Ketua Eksekutifnya, Ravi Alagendrran, berkata beliau memberi jaminan syarikat itu akan memulangkan semula semua tuntutan pemulangan wang tiket penerbangan penumpang sebelum Aidilfitri ini.

Beliau mengakui syarikat itu buat masa ini gagal membuat pembayaran semula tuntutan tiket penerbangan penumpang kerana berdepan masalah aliran tunai.

“Kami akan membuat semua pembayaran penuh sebelum sambutan hari raya atau lebih awal selepas dana daripada pelabur masuk,” katanya.

Semalam, lebih 200 penumpang syarikat penerbangan Rayani Air kecewa apabila mereka gagal mendapatkan tuntutan pulangan tiket penerbangan seperti dijanjikan sebelum ini. 

Sehingga tarikh akhir dipersetujui untuk pemulangan bayaran tiket bagi penerbangan tidak dapat dinaiki mereka tamat kelmarin, penumpang terbabit masih belum menerima sebarang wang atau penjelasan daripada pengurusan syarikat.

Perkhidmatan syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia itu terganggu selepas Sijil Pengendali Udara (AOC) digantung selama tiga bulan dan Rayani Air juga masih menanti keputusan muktamad daripada Kementerian Pengangkutan. 

Related Articles