KUALA LUMPUR: Penyedia kandungan media sosial, Syarul Ema Rena Abu Samah, atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga, tidak ditahan sebaliknya dipanggil untuk memberi keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, aktivis politik itu disiasat berhubung dakwaan wanita itu menerima beberapa peratus hasil kutipan sumbangan yang diberikan kepada sebuah badan bukan kerajaan.
“Saya mengesahkan dia dipanggil untuk memberi keterangan dan kita turut membuat pemeriksaan di premisnya.
“Setakat ini, dia masih memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya dan belum ditahan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beberapa media sebelum ini melaporkan peguam Ratu Naga mendakwa wanita itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan lima pegawai SPRM di rumahnya di Jalan Klang Lama di sini pada kira-kira 9 pagi tadi. – Bernama