Rasuah: Pengarah agensi kerajaan, isteri ditahan

Menurut sumber, lelaki berusia 54 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Bagan Lalang, Sepang, Selangor pada kira-kira 12 tengah hari Rabu.

Turut ditahan isterinya berusia 36 tahun yang juga pembantu tadbir di agensi kerajaan berkenaan.

Menurut sumber itu lagi SPRM juga menahan dua pemilik syarikat yang dipercayai telah menerima kontrak daripada pengarah tersebut, masing-masing di Alor Setar dan Shah Alam, antara 8.10 pagi dan 3.30 petang Rabu.

Pengarah itu dipercayai telah menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya bagi menganugerahkan projek membekalkan peralatan untuk agensinya kepada kontraktor-kontraktor berkepentingan.

Sumber itu berkata berdasarkan siasatan awal, suspek disyaki menerima sejumlah wang daripada kontraktor terbabit supaya syarikat mereka dipilih semula untuk melaksanakan projek-projek pada masa akan datang.

“Kontraktor-kontraktor yang dilantik juga dikatakan menggunakan nama beberapa syarikat berlainan ketika menghantar sebut harga untuk mengaburi jawatankuasa pemilihan sebut harga,” katanya.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata mereka yang ditahan akan direman pada Khamis bagi membantu siasatan. – Bernama

Related Articles