Rangka dasar pekerja asing yang lebih selamat

by SM Amin

Sungguhpun sekarang pekerja Myanmar yang bekerja di negara ini dianggarkan 100 ribu orang atau 5 peratus daripada jumlah 2 juta pekerja asing yang sah di negara ini, tetapi jumlah tersebut lebih rendah berbanding jumlah semua pekerja termasuk pekerja haram.

Kebanyakan pekerja Myanmar bekerja dalam industri pemakanan, pertanian dan pembinaan. Jika kerajaan mengambil langkah meminta pihak majikan menghantar pulang pekerja Myanmar, lebih-lebih lagi pekerja tersebut pulang kerana bimbang tentang keselamatannya di negara ini, nescaya beberapa bidang industri akan menerima tamparan hebat.

Semasa mengulas kenyataan kerajaan Myanmar tersebut, TPM Zahid Hamidi semalam mengingatkan majikan supaya tidak mengambil langkah yang boleh menjejaskan negara. Kita berharap Zahid tidak hanya bercakap tetapi bertindak menangani masalah. KDN juga perlu mengatasi masalah ekoran kerajaan Myanmar tidak lagi menghantar pekerjanya ke negara ini.

Dasar kerajaan mengenai pekerja asing telah menimbulkan kebimbangan pengusaha atau majikan kerana mereka tidak dapat membawa masuk pekerja yang sah, sedangkan negara menghadapi masalah pekerja haram yang begitu ramai.

Majikan berasa bimbang apabila negara luar menyatakan tidak akan menghantar pekerjanya ke luar negara. Umpamanya, Indonesia sebelum ini telah mengumumkan tidak lagi menghantar pembantu rumah ke negara ini.

Apabila menghadapi masalah seumpama in, setiap kali pihak berkuasa kerajaan menyatakan bahawa perkara tersebut tidak akan menjejaskan negara tetapi tiada langkah yang serius lagi konkrit diambil untuk mengatasi masalah tersebut.

Malaysia merupakan negara yang mengimport pekerja asing. Oleh itu kerajaan perlu merangka dasar pekerja asing yang lebih selamat lagi terbuka agar majikan sentiasa berasa lebih terjamin dalam masalah pekerja dan urusan perniagaan. Kerajaan juga perlu membenarkan majikan mengambil pekerja dari beberapa buah negara dan tidak hanya tertumpu pada negara-negara tertentu sahaja. – China Press

Related Articles