‘Ramasamy Lebih Baik Berdiam’

KUANTAN: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berpendapat bekas ahli politik DAP, P Ramasamy lebih baik berdiam diri dan menikmati persaraannya daripada terus mengulas mengenai pengkhianatan kerana beliau sendiri adalah pengkhianat.

Wan Rosdy yang juga Menteri besar Pahang itu menyamakan tindakan Ramasamy membelakangkan DAP dengan pepatah Melayu “meludah ke langit, akhirnya jatuh ke muka sendiri”.

“Sebaik-baiknya Ramasamy berdiam diri daripada memberi komen mengenai pengkhianatan kerana beliau sendiri telah mengkhianati partinya ketika mengumumkan keputusan keluar DAP pada 10 Ogos tahun lalu selepas namanya tidak disenarai pendek sebagai antara calon pilihan raya negeri Pulau Pinang.

“Selepas itu, beliau mengumumkan penubuhan parti politik baharu, Parti Hak Bersatu Malaysia (Urimai) pada 27 November tahun lalu. Adakah pengkhianat layak bercakap mengenai pengkhianatan?.

“Saya percaya rakyat boleh menilai sendiri siapa sebenarnya Ramasamy, yang mana kenyataan yang dikeluarkannya itu sama seperti ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri. Cukup-cukuplah dengan mengeluarkan kenyataan yang hanya mengelirukan rakyat semata-mata untuk meraih populariti murahan untuk kepentingan diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Rosdy berkata, Ramasamy harus sedar kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti lain adalah untuk mewujudkan kestabilan negara seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas pilihan raya umum ke-15.

“Alhamdulillah, dengan pembentukan kerajaan perpaduan, kita boleh mewujudkan politik matang yang meraikan setiap perbezaan bagi memastikan rakyat terus hidup dalam keadaan harmoni, aman dan sejahtera,” katanya.

Ramasamy dalam menjawab kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa BERSATU adalah parti yang lahir daripada pengkhianatan kepada UMNO selepas pilihan raya umum 2018.

Ramasamy mendakwa sekutu UMNO, PKR adalah satu lagi klon UMNO kerana ia mempunyai DNA yang sama. –Berita Harian

Related Articles