Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, rakyat di negara ini bebas untuk bekarya namun dalam masa yang sama harus menghormati dan undang-undang sedia ada bagi mengelakkan mana-mana pihak berdepan dengan tindakan.
Jelasnya, sekiranya ada pihak yang menerbitkan karya yang didapati menyinggung atau mencaci pimpinan negara, maka pihak polis tidak akan teragak-agak untuk merampas hasil karya tersebut.
“Polis tidak menghalang, malah memberi kebebasan kepada penggiat seni menghasilkan karya. Kami tidak pernah ada isu dengan karya Datuk Lat (Datuk Mohammad Nor Khalid) walaupun dia ada menghasilkan karya berkait dengan pemimpin tertinggi negara walaupun ada unsur jenaka.
“Saya tidak faham kenapa ada kartunis bertindak menghasilkan kartun berbentuk menghasut sampai membuat pameran di luar negara semata-mata menghina negara,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Polis Bantuan Malaysia ke-28 di Kulai, Johor pada Isnin.
Pada 26 November lalu, Kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque, 54, ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada jam 6 petang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, Zunar ditahan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.