Raja Petra cabar Musa Hassan tunjuk bukti

Menulis di laman blognya Malaysia Today, beliau meminta Musa untuk membuktikan dirinya tidak bersalah dan sekiranya perkara berkenaan benar seperti didakwa, Raja Petra akan memohon maaf seperti yang digesa Musa.

“Satu fakta yang tidak boleh dinafikan adalah bahawa Musa ialah ketua polis negara dari 2006 hingga 2010, manakala kes Liwat 2 (bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah pada tahun 2008.

“Ini bermakna segala-galanya berlaku semasa zaman Musa. Jadi, jika Musa benar-benar tidak terlibat dalam kes Liwat II maka beliau perlu membuktikannya.

“Sebaik Musa menunjukkan kita bukti yang menunjukkan beliau adalah betul dan saya salah, saya tidak akan teragak-agak untuk mengemukakan permohonan maaf,” tulis Raja Petra dalam blognya pada Rabu.

Awal semalam, Musa mengadakan sidang akhbar dan memaklumkan beliau akan menyaman Raja Petra jika penulis blog itu tidak menarik balik tuduhan fitnahnya berhubung artikel yang mendakwa beliau adalah sebahagian daripada plot untuk menghumban Anwar ke penjara.

Raja Petra dalam artikel bertajuk ‘Bagaimana Mukhriz akan menjadi Perdana Menteri’ yang disiarkan di portal Malaysia Today, mendakwa Musa sebagai anjing peliharaan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perancang kes liwat bekas timbalan perdana menteri itu.

Musa juga berkata bahawa Mahathir tidak terbabit dalam kes Liwat II.

“Mahathir bukan di belakang Liwat II, beliau tidak dipanggil oleh pihak polis,” kata Musa.

Related Articles