Menurut Rafizi, cadangan tersebut hanya akan menyekat pembangunan dan perkembangan kerjaya petugas Petronas khususnya melibatkan orang-orang dari Sarawak.
“Pada pendapat saya, mengenakan kuota agar jawatan pengurusan bagi operasi PETRONAS di Sarawak dikhususkan hanya untuk orang Sarawak sebenarnya tidak baik untuk kakitangan tersebut kerana perkembangan dan kemajuan kerjaya mereka akan terbantut di situ. Apabila mereka naik pangkat kerana kuota dan bertumpu kepada operasi di Sarawak sahaja, mereka akan menghadapi kesukaran untuk beralih jawatan dan pengalaman pada peringkat pengurusan yang sama di bidang-bidang lain.
“Kesan ialah kakitangan PETRONAS dari Sarawak mendapat insentif jangka pendek untuk naik pangkat cepat dengan berebut jawatan pengurusan di Sarawak tetapi rugi jangka panjang kerana tidak cukup luas pengalaman untuk menaiki tangga kerjaya di peringkat kumpulan PETRONAS yang lebih besar dan mencabar. Akhirnya, kita bakal berhadapan dengan satu lagi masalah baru iaitu rungutan pengurusan peringkat tertinggi kumpulan PETRONAS ketandusan kakitangan yang berasal dari Sarawak,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Beliau sebelum ini difahamkan pernah mencadangkan penubuhan PetroSarawak dan PetroSabah bagi memberikan peluang kepada dua negeri terbabit membangun menjadi negeri yang mengusahakan petroleum di peringkat antarabangsa.
Namun, cadangannya itu tidak mendapat perhatian dari rakan-rakan politiknya termasuk dari pihak Pakatan Harapan.
“Sebab itu juga saya telah berkali-kali mencadangkan supaya Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak masing-masing menubuhkan PetroSabah dan PetroSarawak untuk menjadi dua syarikat minyak yang boleh dibantu oleh PETRONAS untuk membangun bertaraf dunia. Rakyat Sarawak dan rakyat Sabah akan lebih beruntung jika mereka dibantu oleh PETRONAS dari segi kepakaran dan kemahiran supaya PetroSarawak dan PetroSabah boleh bersaing di luar negara. Keputusan pengurusan dan pengambilan pekerja PetroSarawak dan PetroSabah adalah keputusan komersil pengurusannya yang dilantik oleh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah.
“Tetapi idea saya ini tidak pun dipandang oleh mana-mana pimpinan Sarawak dan Sabah baik dari Barisan Nasional atau Pakatan Harapan. Sebaliknya kadang-kadang saya melihat mereka berlumba-lumba memukul institusi lain yang dilihat dari Semenanjung, sedangkan yang sepatutnya dipukul ialah Dato’ Seri Najib Tun Razak yang menabur janji mengenai autonomi tetapi nampaknya enggan ditunaikan,” tambah Ahli Parlimen Pandan itu lagi.
Semalam, Chong Chieng Jen menyarankan supaya pekerja dari Semenanjung Malaysia yang bekerja sebagai eksekutif Petronas dilarang masuk ke negeri itu.
Kata Chieng Jen, larangan itu perlu terus dikuat kuasakan sehinggalah Petronas meningkatkan penyertaan rakyat Sarawak dalam pengurusannya di negeri itu ke tahap 70 peratus.