Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, Rafizi berhak untuk merayu terhadap keputusan tersebut berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 48 (4) (b) Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh yang demikian, kerusi yang disandangnya tidak menjadi kosong dan kedudukan beliau akan kekal seperti sedia ada sehingga proses rayuan di bawah Perlembagaan Persekutuan selesai sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Isnin, Rafizi didakwa memiliki halaman 98 laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa kebenaran, yang mana beliau telah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
Beliau dikatakan melakukan kesalahan itu di lobi Parlimen di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur pada pukul 3 petang 24 Mac tahun ini.
Rafizi, 39, turut didakwa kerana mendedahkan kandungan laporan audit pada halaman yang sama menerusi sidang media pada 28 Mac lalu.
Menurut Mohd Hashim, memandangkan kes itu masih belum selesai, adalah tidak wajar bagi SPR untuk membuat ulasan berkaitan dengan keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.
“Tambahan pula dalam kes ini, berdasarkan laporan oleh pihak media bahawa rayuan akan difailkan Rafizi Ramli,” katanya.
Beliau berkata, sebarang proses perundangan berkaitan kerusi Parlimen Pandan akan hanya ditentukan setelah proses rayuan di mahkamah dan di bawah Perlembagaan Persekutuan dimuktamadkan, memetik laporan mStar Online.